May 2011 ~ ARJUNA

Adab Bersahabat!

Soalan : Arjuna, saya sangat menjaga hubungan persahabatan! Saya sangat menyayangi sahabat saya! Namun, adakalanya saya sering keliru akan adab bersahabat. Tolong saya memperbetulkan sangkaan saya mengenai adab bersahabat!

Jawapan : Kita hidup di dunia ini saling memerlukan. Arjuna juga mempunyai ramai sahabat. Namun, bukan semua sahabat yang kita temui boleh dipercayai. Di sini saya titipkan adab bersahabat. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua.



Adab orang yang bersahabat itu ada banyak perkaranya, tetapi disebutkan oleh Imam Al-Ghazali didalam kitabnya “Bidayatul-Hidayah” hanya dua puluh tiga perkara sahaja iaitu:
(1) Melebihkan sahabatnya atas dirinya dari segi material. Jangan terlalu bakhil.
(2) Membantu sahabatnya dari segi keperluannnya dengan bersegera tanpa ia meminta tolong.
(3) Menyembunyikan segala rahsia-rahsia sahabatnya.
(4) Menutup segala kea’ibannya.
(5) Apabila ia mendengar seseorang mencela sahabatnya, dia tidak menyampaikan perkataan itu kepada sahabatnya.
(6) Apabila seseorang menceritakan keburukan sahabatnya, janganlah ia mendengarnya.
(7) Apabila mendengar seseorang memuji sahabatnya atau sesuatu yang menyukakannya, hendaklaklah ia menyampaikan khabar itu kepadanya.
(8) Apabila sahabatnya berucap, hendaklah ia bersungguh-sungguh mendengar ucapannya.
(9) Meninggalkan berbantah-bantah dengan sahabatnya.
(10) Memanggil sahabatnya dengan nama yang ia sukai, bukan gelaran yang buruk.
(11) Apabila melihat sahabatnya berbuat kebajikan, hendaklah ia bersyukur atas perbuatannya.
(12) Menegahkan seseorang daripada mencela sahabatnya sepertimana ia menegahkan seseorang mencela dirinya.
(13) Memberi nasihat kepada sahabatnya dengan perkataan yang lemah lembut,bukan dengan sindiran yang pedas dan tajam menikam hati.
(14) Memaafkan segala kesilapan sahabatnya, bukan memerli atau menempelaknya.
(15) Mendoa’kan sahabatnya didalam solatnya semasa hidupnya dan selepas matinya.
(16) Membuat kebaikan dengan ahli keluarga sahabatnya kemudian dari matinya.
(17) Jangan membebani sahabatnya dengan permasalahannya supaya senang hatinya.
(18) Menzahirkan kegembiraan dengan sebab nikmat yang didapati oleh sahabatnya.
(19) Menzahirkan kedukaan dengan sebab kesusahan yang menimpa sahabatnya.
(20) Hendaklah ia memulai salam ketika bertemu dengan sahabatnya.
(21) Apabila datang sahabatnya ke suatu majlis, hendaklah ia membuka ruang duduk untuk sahabatnya dan jika tiada ruang untuknya, hendaklah ia berpindah ketempat lain bagi memberi ruang untuk sahabatnya.
(22) Apabila sahabatnya mahu pulang ketempatnya, hendaklaklah menurutinya hingga kemuka pintu rumah atau pagar untuk memuliakannya.
(23) Apabila berkata-kata sahabatnya, hendaklah ia diam seraya mendengar segala perkataannya sehinggalah selesai. Kemudian barulah ia memulakan pula perkataannya dan jangan sekali-kali ia mencelah perkataan sahabatnya.
PILIH SAHABAT
Apabila kita mahu memilih sahabat untuk menemani kita dalam menuntut ilmu atau untuk pekerjaan agama dan dunia atau teman bermusafir, hendaklah kita memelihara dan memilih ciri-ciri seperti berikut:
(1) Orang yang sempurna akalnya. Maka tiada faedahnya kita bersahabat dengan orang yang kurang akalnya kerana pada akhirnya membawa kepada perkelahian dan menyakitkan hati. Musuh yang berakal lebih baik dari taulan yang bodoh.
(2) Orang yang baik akhlak kelakuan dan budi perangainya. Maka janganlah bersahabat dengan orang yang buruk akhlak perangainya iaitu orang yang tidak dapat mengawal marah dan nafsu mazmumahnya.
(3) Orang yang soleh. Maka jauhkan bersahabat dengan orang fasiq yang sentiasa melakukan dosa kerana kita takkan terlepas dari kejahatannya.
(4) Orang yang tidak cintakan dunia. Kerana bersahabat dengan orang yang sangat cintakan dunia (materialistik) itu seperti racun yang membunuh diri kita.
(5) Orang yang siddiq (benar) pada segala perkataan dan perbuatannya. Bukan cakap tak serupa cakap kerana berdusta itu antara ciri-ciri orang munafiq.

KATEGORI SAHABAT
Ketahuilah bahawasanya sahabat itu ada tiga kategori:
(1) Umpama makanan yang tak dapat dan kita tidak memerlukannya setiap waktu.
(2) Umpama ubat yang diperlukan ketika sakit dan tidak diperlukan ketika sihat.
(3) Umpama penyakit yang kita tidak memerlukannya sekali-kali bahkan
kita perlu menjauhinya.

Jangan Bersedih Kerana Allah Sentiasa Bersama Kita!



Apabila kita asyik termenung memikirkan nasib diri di sini…
Merenung jauh mereka di sana hidup penuh keseronokan dan kegembiraan…
Namun, kita masih tak sedar tentang hakikat erti kebahagiaan yang sebenarnya…

Ramai orang…
Tersalah sangka tentang maksud ketenangan dalam hidupnya selalu orang mengaitkan ketenangan itu dengan faktor harta…
Dengan faktor kekayaan…
Walaupun itu boleh jadi penyumbang tetapi itu bukan segala-galanya...

Betapa ramai orang yang berada dalam rumah yang besar tidur di atas katil yang empuk
tetapi dia tidak lebih enak ataupun lenanya tidak nyenyak...
Bahkan ada orang yang tidur di pondok buruk kadang-kadang dia lebih lena dari kita...

Ada orang yang berada di hadapannya hidangan yang hebat lauk-pauk yang bagus
tetapi lidahnya tidak enak...
 lebih enak lagi orang yang makan kadang-kadang dengan
satu dua mata lauk…
Tetapi dia lebih sedap dan selesa makannya...

Kata Hamka: “lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat
Semua orang sangka kalau orang itu ada rumah besar ada makanan yang sedap
tentulah hidupnya bahagia dan tenang...
Belum tentu!
[Tiada siapa mampu menghalang ketetapan Allah]

"Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang,
Dia tidak boleh ditahan oleh apa-apa tangan sekalipun...
Jika Allah menghalang kebahagiaan kepada seseorang,
Dia tidak boleh dihulur oleh apa-apa tangan sekalipun..."

Jika Allah uruskan urusan kita dan Allah tidak serahkan diri kita kepada kita
walaupun sekelip mata... 
Dunia boleh berbuat apa-apa tetapi mereka tidak boleh mencabar kebesaran kerajaan Allah...
Jika Allah mengatur untuk kita apa yang orang sangka tewas kita akan melihat kemenangan dari sisi Allah...

Apa yang orang rasa rugi Allah akan berikan keuntungan yang mana
jalan-jalan manusia tak sangka...
tetapi Allah boleh mewujudkan keajaiban dalam kehidupan...

[Apabila kita asyik mengeluh setiap kali ditimpa musibah...]
Tuan-tuan tengoklah dunia ni...
Kadang-kadang tuan-tuan, manusia dia hilang suatu benda ini daripada dunia
Kadang-kadang macam dia hilang segala-galanya...
Saya nak sebut tuan-tuan
berapa banyak dalam hidup tuan-tuan telah melalui keperitan hidup?
Cuba ingat!
Ketika kita kena keperitan, kita rasa kita tidak dapat keluar daripadanya...
Tapi hari ini Allah telah keluarkan kita berada dalam keadaan yang baik

Ketika kita ditimpa musibah tertentu,
Kita kata: “habislah aku kali ni” tapi usia kita telah berjalan
Kita masih lagi hidup dan makan dan menikmati kurniaan Tuhan ini...
Ketika kita kata: “Ya Allah… tolonglah aku,
Ya Allah… tolonglah aku, aku susah ya Allah”
hari ni kita pun telah lupa akan perkataan itu dan kita lupa kadang-kadang untuk bersyukur
di atas pelbagai ranjang hidup yang telah Allah keluarkan kita daripadanya...

Orang-orang yang diberitahu kepada mereka
“Nun, orang ramai sedang berkumpul untuk ambil tindakan kepada kau”
“Nun, orang nak ambil tindakan kepada hang”
“Nun, orang nak ambil tindakan kepada kau”
“Nun, ada orang nak bertindak kepada kau”
Kata Allah: “iman dia tambah
Bukan kita kata: “pasal apalah Allah benci aku? Apalah dosa aku?”
Tidak, tidak!
Kata Quran: “iman mereka bertambah
Mereka kata: حسبنا الله ونعم الوكيل
Cukuplah bagi kami, Allah…
Dialah sebaik-sebaik tempat diserahkan urusan
(آل عمران: 173)

[Pengalaman sering mematangkan kita]
Siapa yang tidak melaluinya tidak akan memahami maksudnya...
Orang-orang yang pernah hidup dan bertawakkal dia akan mengetahui tentang keajaiban bertawakkal...
Bila hati insan bulat kepada Ya Rabb
إني فَوَّضْتُ هذا الأمر إليك
Ya Allah… aku serahkan urusan ini kepadaMu ya Allah...

[Kita sering lupa, kita masih punya kehidupan di akhirat]
Apabila insan melihat dunia daripada dimensi akhirat,
 dia akan merasakan dunia ini sangat kecil... 
kehidupan ini sangat luas...
Nabi sebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Muslim...
Allah bawa pada hari akhirat, manusia yang paling derita dalam dunia ini...
Saya tak tahu manusia paling derita di dalam dunia ini...
Allah ambil dia, Allah masukkan dia ke dalam syurga
Dia dimasukkan, dicelupkan masuk ke dalam syurga
kemudian dia dikeluarkan lalu ditanyanya:
“Wahai fulan, adakah kau pernah rasa derita dalam hidup?”
Dia kata: “tak! Aku tak pernah derita pun dalam hidup ini”
Hanya kerana masuk sekelip mata di dalam syurga, lupa cerita derita
Allah ambil manusia yang paling nikmat dalam dunia ini
Segala yang nikmat, Allah masukkan dia secelup sahaja ke dalam neraka
lalu dikeluarkan dia
“Pernahkah kau merasai nikmat dalam hidup ini?”
Dia kata: “tak! aku tak pernah ada nikmat pun dalam hidup ini”
Hanya dengan satu celupan sahaja ke dalam neraka
Manusia lupa segala kisah nikmat dalam hidupnya...


[Masihkah kita teringat akan nikmat yang Allah berikan selama ini?]
Kita selalu nak bersyukur kalau kita diberi benda baru
dan kita lupa bahawasanya apa yang ada pada kita ini suatu nikmat yang besar...
Satu hamba Allah yang patah kakinya yang dia tidak pernah pun sebut
dulu barangkali tak pernah teringat tentang nikmat kaki yang setiap hari dia pijak
Tapi apabila satu hari dia sakit kaki...
Dia kata: “Ya Allah… bagilah balik kaki aku, sembuhkanlah balik”
Dia tahu besarnya nikmat kaki, nikmat tangan, nikmat sihat
Kata Hamka: “Yang ada ini sudah harapan kita
Yang kita ada ini harapan kita
Tetapi insan…
bukan salah untuk kita mengharapkan yang belum ada
tetapi jangan lupa yang telah ada...

[Bersyukurlah wahai diri ini...]
Sebab itu sebahagian para sarjana menyebut...
Syukur kadang kala makamnya lebih tinggi daripada sabar...
Ramai orang terpaksa sabar tapi belum tentu orang yang dapat nikmat itu bersyukur...
Bila dia susah nak kata apa?
“Sabar je la, nak buat apa?”
Tapi untuk jadikan orang yang memiliki harta seperti tuan-tuan
syukur di atas nikmat
اللهم ما أصبح بي من نعمة أو بأحد من خلق
فمنك وحدك لا شريك لك فلك الحمد ولك الشكر
Ya Allah… apa saja yang aku alami
daripada nikmatMu, daripada kurniaan daripada sesiapa di kalangan hambaMu
tidak ada daripada sesiapa melainkan daripada Engkau wahai Tuhan
bagi Engkaulah pujian, bagi Engkaulah kesyukuran..."
Subhanallah…!
Insan, jika dia nak bersyukur kepada Allah, tak terdaya
وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها : إبراهيم: 34
Jika kamu hendak menghitung nikmat Allah, kamu tak mampu...
Tuan-tuan… bila kita melihat hidup ini secara keseluruhan kita akan rasa ma syaa Allah hidup ini apa yang Allah kurniakan kepada kita lebih dari harapan kita sebenarnya...
Kalau tuan-tuan ingat daripada hari tuan-tuan dilahirkan
tempat tuan-tuan dilahirkan
rumah tuan-tuan dilahirkan
sehingga tempat tuan-tuan ada pada hari ini
Ma syaa Allah…!
Tak dapat nak diucapkan berapa kali nak sebut pun tak mampu...

[Firman Allah yang bermaksud:]
“Ketika orang-orang yang kafir itu mengeluarkan dia
ketika dia salah seorang dari dua, dia dan Abu Bakar
yakni Nabi dan Abu Bakar
Ketika mereka berada di dalam gua (sewaktu peristiwa hijrah)
Ketika dia berkata kepada sahabatnya
لا تحزن إن الله معنا
“Jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita”
(التوبة: 40)
[Petikan dari ceramah: Mencari Sakinah, Dr. MAZA, 1 Nov 2009]


Hukum Menyanyi!

Soalan : Arjuna! Apakah hukum menyanyi dan muzik mengikut syariat islam??

Jawapan : Masa kini semua manusia meminati muzik terutama golongan remaja. Tipulah kalau Arjuna tak minat mendengar muzik. Arjuna pun sangat meminati muzik dan sangat gemar menyanyi. Namun, ada 5 syarat yang perlu dirujuk bagi menentukan sesuatu lagu atau muzik itu sah di sisi agama. Syarat itu adalah ;
  1. Lirik.
  2. Tidak diiringi muzik yang menaikkan syahwat.
  3. Tidak ada pembaziran.
  4. Cara penyampaian.
  5. Tidak bercampur antara lelaki dan perempuan.

Ikuti ceramah  Ustaz Mohd Kazim Elias mengenai hukum menyanyi. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua.



Hukum Bermain Gitar!


Soalan : Assalamualaikum, Arjuna! Saya seorang yang sangat suka bermain gitar. Tetapi, ustazah kat sekolah saya ni cakap bermain gitar itu haram.. Betul ke??
Jawapan : Waalaikumussalam w.b.t! Arjuna tak pandai bermain gitar. Bermian biola tu boleh la. HeHe! Okay, Arjuna ada mendapat satu artikel yang ditulis oleh orang yang sama minat dengan anda. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada kita semua.

Sebenarnya aku dah banyak cari maklumat pasal hukum main gitar ni. Aku minat gitar sejak dari kecik lagi. Tapi parents aku tak bagi aku main gitar atau bawak balik gitar ke rumah, sebab katanya haram hukumnya bermain gitar. Tetapi oleh kerana aku ni minat sangat nak main gitar, aku pun cari pasal hukum main gitar. Tapi aku tak jumpa sumber yang soheh mengatakan hukum bermain gitar itu haram.
Sampailah satu ketika aku tengok Al-Kuliyyah TV3 yang membincangkan tentang alat muzik. Masa tu aku tengok ngan mak aku. Tiba di part gitar. kata pengerusi al-kuliyyah (tak ingat nama tapi beliau seorang hafiz al-Quran), main gitar itu hukumnya harus. Aku pun dengan nada terkejut sampai terbeliak biji mata kegirangan, terus tanya mak aku di sebelah (sebab aku nakkan kepastian). Mak aku pun pelik, sebab selama ni yang dia tahu hukum bermain gitar itu haram.
Aku pun terus call al-kuliyyah (kebetulan dia buka talian untuk sebarang kemusykilan), tapi tak dapat, sampai habis siaran. Aku pun tanya lagi mak aku, dia diam.
Alternatifnya, aku pun (dek kerana minat sangat ngan gitar) call pejabat agama negeri Pahang (sebab masa tu aku dok kat Kuantan) bertanyakan hal ni.
Dari situ saya bincang dengan seorang ustaz. Panjanglah perbincangan dengannya melalui telefon.
Dari perbincangan tersebut, dapat disimpulkan bahawa hukum bermain gitar itu adalah harus. Namun, akan jatuh haram apabila ianya melekakan daripada mengingati Tuhan, lagha, mencetus maksiat, dan sebagainya.
Kemudian, aku dapat peluang melanjutkan pengajian di IPT. Aku tanya ustaz aku masa aku belajar di Kota Bharu. Hukumnya sama, harus. Katanya, kalau main gitar tu untuk tujuan yang menuju ke arah maksiat, haram hukumnya. Tapi katanya lagi, kalau kita main gitar untuk kita sendiri, sebagai hiburan untuk kita, dan tidak melekakan, harus hukumnya.
Namun begitu, ramai yang mengatakan, kalau terdapat banyak pendapat, sehingga jatuh syubhah, lebih baik ditinggalkan. Aku pun akur dengan penyataan tersebut.
Tapi terpulanglah kepada masing-masing. Aku minat bermain gitar, aku suka bermain gitar. Aku main gitar untuk diri aku sendiri. Aku main perlahan-lahan, tidak mengganggu sesiapa sama ada isteri, jiran-jiran mahupun masyarakat. Aku tidak leka dan tidak lagha dalam bermain gitar. Aku rasa aku sentiasa dapat bahagi masa antara tanggungjawab dan hiburan. Isnya-Allah aku akan sentiasa menjaga masa aku dengan baik.


Wallahualam..

Cinta Tak Seharusnya Memiliki!



...Cintailah seseorang kerana kekurangannya, kerana suatu saat nanti kamu akan bahagia dengan kelebihannya…dan jangan pernah mencintai seseorang dengan kelebihannya, kerana suatu saat nanti kamu pasti kecewa ketika kamu tahu kekurangannya...

Bagaimana hari anda berlalu hari-hari tanpa cinta? hidup ini tidak dapat lari dari cinta...indahnya cinta itu bila melihat orang yang kita sayangi bahagia walau bukan dengan kita.. Kerana cinta itu bukan mempunyai kekuatan untuk melangkah jauh melihat kebahagiaan si dia..

Namun di mana hendak kamu mencari satu kekuatan untuk membenarkan rasa yang tersimpan menjadi kenyataan.. Sejauh mana lagi hendak kamu sembunyikan selaut kasih itu sedangkan hari harimu meronta satu sudut dunia yang dirimu amat menyayang akan dirinya..

Kamu merasakan seolah kamu bahagia begini, hanya memandang dalam jauh.. Melihat dalam dalam di matanya menyembunyikan getaran yang tersimpan.. Jika takut berkata cinta, simpan saja hingga hilang akan dia.. Sesalan tiada gunanya jika hanya menunggu saat kehadirannya..

Memang menyakitkan hati pabila kita jatuh cinta pada seseorang itu dan cinta kita tidak diterima, di tolak hingga luka yang pedih terasa di lubuk hati.. Tetapi amat menyakitkan hati dan terus di dalam sesalan jika cinta akan seseorang namun tiada kekuatan diri menyatakan.. Kuatkan azam membentuk satu kisah antara kamu dan dia..

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan.

Kadang kala hati kita merasakan rindu sangat pada seseorang tetapi hati kita selalu berkata kata aku takut untuk meluahkannya.. Dan kerana rindu itu tiada bertepi.. Takut akan merubah segalanya yang indah.. Amat kita takut menghadapi igauan sedangkan kita sendiri dalam samar.. Mungkin nasib diri bertuah selangit cerah.. Dan mungkin saja diri amat malang, sedalam laut hitam..

Tiada manusia yang rugi pada sesuatu yang tidak pasti.. Dia mungkin bukan jodoh kita, kita bukan matahari buatnya.. Malam indah kita bukan untuknya dakap erat dan ucap salam sejahtera serta cinta.. Kita mungkin pernah hiaskan hatinya hanya kerana dia sunyi dan mahukan teman di kala bersendiri.

Dan ingin saja kita mahu keseorangan dan bersendirian dalam mengejar mimpi indah.. Namun hakikatnya kita dalam sepi menangis kesunyian seolah tiada langsung manusia yang bersimpati.. Dan kita terus hanyut di dalam arus yang diam.. Mencari satu wajah yang akan memiliki sekeping hati ini..

Kadang orang berkata, adakah kita tiada rasa atau perasaan.. Seolah memandang hina akan diri kita.. Dalam menjejak mimpi yang dulu hilang.. Dan sebenarnya orang itu tidak tahu.. Kita masih ada harga diri yang tinggi.. Menanti nilai cinta suci dan bukan hanya semudah menerima sesiapa saja..

Renungan Buat Insan Yang Bernama Lelaki...



Jadilah seorang lelaki yang beriman,
Yang hatinya disalut rasa taqwa kepada Allah,
Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam,

Yang sentiasa haus dengan ilmu,
Yang sentiasa dahaga akan pahala,
Yang solatnya adalah maruah dirinya,
Yang tidak pernah takut untuk berkata benar,
Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu,
Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah.

Jadilah seorang lelaki,
Yang menjaga tutur katanya,
Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya,
Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya,
Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang,
Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang.

Jadilah seorang lelaki,
 Yang menghormati ibu bapanya,
Yang sentiasa berbakti kepada orang tua dan keluarga,
Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga,
Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam,
Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan,
Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju akhirat.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa bersedia untuk menjadi imam,
Yang hidup di bawah naungan al-Quran dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah,
Yang boleh diajak berbincang dan berbicara,
Yang menjaga matanya dari berbelanja,
Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak pernah membazirkan masa,
Matanya kepenatan kerana membaca al- Quran,
Suaranya lesu kerana penat berzikir,
Tidurnya lena dengan cahaya keimanan,
Bangunnya Subuh penuh kecergasan,
Kerana sehari lagi usianya bertambah kematangan.

Jadilah seorang lelaki,
Yang sentiasa mengingati mati,
Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat,
Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga,
Agar berputik tunas yang bakal menjaga baka yang baik,
Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian.

Jadilah seorang lelaki,
Yang tidak terpesona dengan buaian dunia,
Kerana dia mengimpikan syurga Allah.

Insyaallah..
Arjuna sedang berusaha untuk memperbaiki diri..