Album Kerohanian 6ixth Sense! ~ ARJUNA

Album Kerohanian 6ixth Sense!

SEMPENA Ramadan, kumpulan 6ixth Sense mengangkat tema kemanusiaan dan kerohanian dalam album terbaru mereka berjudul Tentang Kita.

Kumpulan yang menjadi pujaan ramai ini memilih judul tersebut sebagai simbolik kisah hidup manusia yang mencari keredaan Tuhan ketika susah dan senang.

Berhasrat menumpukan kepada elemen kemanusiaan dan ketuhanan, vokalisnya, Adi berkata, lagu-lagu yang terdapat dalam album tersebut berkait rapat dengan perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian.

“Sebelum ini kami ada juga menonjolkan lagu kemanusiaan dan juga kecintaan kepada Tuhan. Namun, album kali ini kesemua lagu dibuat mengangkat nilai kemanusiaan dan kerohanian. Pelancaran album juga mengambil keberkatan Ramadan tahun ini,” katanya.

Menurutnya, himpunan lagu yang terdapat dalam album tersebut menceritakan mengenai pencarian kedamaian dalam rumah tangga dan mencari kasih sayang daripada ALLAH, Rasul dan ibu bapa.

“Album ini menunjukkan keterbukaan kami dalam perjuangan menegakkan syiar Islam menerusi lagu berunsur nasihat dan panduan berguna.

“Malah penyertaan kumpulan nasyid Saujana dalam album ini menerusi single pertama kami berjudul Penerang Hati diharapkan dapat membantu dakwah yang menjadi nadi asas dalam album kerohanian ini,” ujarnya lagi. Selain Adi, 6ixth Sense turut dianggotai empat lagi anak muda; Gjie pemain gitar utama, Wan pemain drum, Athan selaku pemain gitar kedua dan Ayoy sebagai pemain bass.


Single terbaru kumpulan ini berjudul Altar Cinta ciptaan sepenuhnya oleh Adi telah diperdengarkan di semua stesen radio utama sejak 18 Julai lalu.

Menyentuh mengenai album terbitan Universal Music Malaysia ini, Adi berkata, terdapat enam lagu yang terkandung dalam album ini yang menggabungkan hasil tenaga kerja profesional dan dirakam di tiga studio berbeza iaitu Hijjaz Studio, King’s Studio dan Studio 18.

“Terdapat lagu diberi nafas baru yang pernah dipopularkan kumpulan nasyid tempatan iaitu Damai Yang Hilang oleh Nowseeheart dan Rasulullah oleh Hijjaz.

“Susunan muzik kami lakukan sendiri bagi mengekalkan trademark kumpulan kami,” katanya sambil memberitahu dua lagu lain ialah Ayah Dan Ibu dan Cintaku Padamu Seluas Angkasa (Selawat).

0 comments:

Post a Comment