Keistimewaan Al-Quran Dan Malam Lailatulqadar!
Al-Quran mula diturunkan pada Ramadan, namun tarikhnya kurang jelas. Ahli Sunnah wal Jamaah menerima pendapat, al-Quran diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Oleh itu, 17 Ramadan dirai sebagai hari turunnya wahyu (Nuzul al-Quran) buat pertama kalinya.
Pada malam itu, ketika Nabi Muhammad SAW sedang berada di Gua Hira surah al-Alaq, ayat 1 hingga 5 diturunkan. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah sehingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada hari ini.
Al-Quran mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Kalimah al-Quran sering dicantumkan dengan rangkai kata al-Quran mukjizat akhir zaman atau al-Quran yang mempunyai mukjizat.
Inilah sebenarnya kelebihan al-Quran yang tidak ada satu perkara pun tertinggal atau dengan lain perkataan, segala-galanya ada dalam al-Quran.
Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur bererti cahaya menerangi, al-Furqan (dapat membezakan antara hak dan batil) dan az-Zikr (memberi peringatan).
Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam lailatulqadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain seperti diterangkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar, dan apa caranya engkau dapat mengetahui apa kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (Surah al-Qadr, ayat 1-5)
Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu laporan daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW menyebut empat orang bani Israel yang beribadah kepada Allah SWT selama 80 tahun.
Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah SWT, lalu sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan Allah SWT menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka.
Jibril pun membaca surah al-Qadr. Jibril berkata kepada Rasulullah SAW, ayat ini lebih baik daripada apa yang kamu kagumkan ini dan menjadikan Rasulullah SAW dan sahabat amat gembira.
Rebutlah peluang di malam lailatulqadar pada 10 malam terakhir bulan ramadhan. Semoga apa yang diimpikan dimakbulkan olehNya. Insyaallah.
0 comments:
Post a Comment